Apakah teknologi dan kemanusiaan boleh membantu kita membangunkan sastera?

Teknologi yang ada pada hari ini mempunyai berbagai teras atau inti seperti yang dinyatakan oleh Daniel Burrus dalam bukunya Technotrends– How to Use Technology to Go Beyond Your Competation (1993). Dan, salah satu di antaranya ialah teknologi yang berorientasikan elektronik dan ruang siber atau cyberspace yang banyak membantu kita untuk memuat naik beberapa maklumat dan karya yang ditulis. Terutama melalui platform of interest tertentu seperti laman sesawang, blog dan media sosial yang tersedia.

Walau bagaimanapun dalam institusi masyarakat kita pada masa ini Jean M. Twenge melalui bukunya iGen – Why Today’s Super-Connected Kids AreGrowing Up Less Rebellious, More Tolerant, Less Happy and Completely Unpreparedfor Adulthood … (2017) telah mengidentitikan 10 perkara penting dalam membentuk i-Geners, dan kebanyakan di kalangan kita.

Di antaranya ialah mereka terlalu lambat untuk mencapai dewasa, terlalu banyak meluangkan masa dengan telefon pintar dan internet, tidak suka bersemuka dengan individu lain, isu penyakit mental semakin meningkat, kepercayaan kepada agama semakin berkurang, terlalu bebas dan lain-lain. Jadi, adakah keadaan ini membantu kita membangunkan sastera kita?

Seorang pemikir Islam tersohor, Ali Shariati dalam karya besarnya Hajj (1984) mengatakan bahaya yang paling besar dihadapi oleh manusia moden bukanlah ledakan bom atom, tetapi perubahan fitrah. Menurutnya, unsur kemanusiaan dalam diri manusia sedang mengalami kehancuran sedemikian cepat sehingga yang tercipta ialah umat manusia yang non-manusiawi.

Sebaliknya Robert K. Cooper dalam bukunya Executive EQ –Emotional Intelligence in Leadership and Organizations (1996) menulis bahawa ‘kecerdasan emosi ialah kemampuan untuk berasa, memahami dan secara efektif menerapkan daya dan kepekaan emosi sebagai sumber energi, informasi dan pengaruh yang manusiawi’.

Revolusi luar biasa dalam teknologi maklumat dan komunikasi ternyata telah memaksa kita untuk membuat perubahan. Dalam kontek sastera, terutama melalui institusi pendidikan keadaan ini telah turut menerima sentuhan 'bahang' tersebut.

Oleh yang demikian melalui perkhidmatan yang pelbagai berdasarkan orientasi elektronik dan ruang siber kita juga percaya untuk (1) memanusiakan manusia melalui karya-karya sastera kita, (2) mengemukakan pengalaman yang berunsur universal dan dengan watak-watak yang dapat dikenal pasti dalam karya sastera kita, (3) mendedahkan pelbagai jenis kehidupan manusia, baik secara individu atau kumpulan, (4) pembaca akan memperolehi pengalaman, bertukar-tukar pengetahun, nilai, sikap, dan bertolak ansur setelah mengetahui pengalaman orang lain atau masyarakat lain (dan sila baca catatan berkaitan).

Ulasan