Cerpen 14

Mercedes Masuk Kampung
oleh: Puasha

i.

Musim cuti sekolah bermula dalam cuaca yang panas dan kering. Niah, adik perempuanku, sering mengeluh kerana air telaga kami semakin berkurangan. Jika kemarau berterusan, kami akan kesukaran mendapatkan air untuk mandi dan mencuci pakaian. Air untuk memasak pula terpaksa dicatu daripada tangki yang bergantung sepenuhnya pada tadahan air hujan.

Sejak kami tinggal di kampung pedalaman ini, kami masih belum menerima saluran bekalan air bersih yang disalur dengan rangkaian air paip seperti yang dinikmati oleh anak-anak yang tinggal di bandar. Apatah lagi untuk menikmati kemudahan api elektrik yang menghidupkan lampu untuk menerangi ruang rumah kami ketika malam menjelang.

Walaupun kehidupan kami serba sederhana, kami tetap gembira kerana belum benar-benar memahami perbezaan antara susah dengan senang. Ayah dan Emak juga tidak pernah mengeluh atau menyalahkan kami kerana tidak mampu membawa tuah yang lebih besar dalam kehidupan mereka. Sebaliknya, mereka mengajar kami membalas jasa dan menghormati orang tua. “Jangan jadi anak derhaka,” pesan Ayah setiap kali melihat kenakalan kami.

Aku sedang mengulangkaji pelajaran sekolah apabila Imah, salah seorang lagi adik perempuanku datang menganggu tumpuanku.

“Abang, ada orang datang,” katanya sambil mengarahkan jari telunjuknya ke depan pintu rumah keluarga kami.

“Siapa,” tanyaku.

“Entah. Tapi katanya mahu minta tolong sebab keretanya mati di tengah jalan,” kata adikku seakan berbisik ke telingaku.

“Mungkin orang datang dari bandar masuk ke kampong kita,” kataku, lalu bangkit menuju ke depan pintu rumah keluarga kami dengan diiringi oleh adik perempuanku, Imah.

Di muka pintu, kulihat seorang anak muda berpakaian kemas dan bertali leher berdiri sambil menggaru kepalanya. Wajahnya kelihatan bingung, manakala bajunya hampir basah oleh peluh akibat cuaca yang panas dan kering.

“Maaf kerana mengganggu,” katanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. “Kereta saya rosak di tengah jalan, tidak jauh dari rumah ini. Bolehkah saya berteduh di sini sementara menunggu bantuan penarik kereta dari bandar?”

Kami membenarkannya masuk dan menunggu di ruang tamu rumah kami yang kecil. Walaupun Ayah dan Emak belum pulang dari kebun, aku percaya bahawa orang yang datang dari jauh dan memerlukan pertolongan wajar diberi tempat berteduh sehingga bantuan tiba.

“Tidak ada salahnya jika kita memberi pertolongan”, kataku ketika salah seorang lagi adik perempuanku, Yayang mahu membantah.

“Bukankah ayah dan ibu kita belum pulang dari kebun, bang. Bagaimana kalau mereka marah sebab membenarkan orang asing berteduh di rumah kita ini,” katanya.

“Nanti akan aku jelaskan pada mereka berdua,” kataku, walaupun sudah mengetahui bahawa kedua orang tua kami tidak akan pulang ke rumah sehingga matahari jatuh terbenam.

Beberapa lama kemudian, kami kembali melakukan kerja masing-masing sementara anak muda itu menunggu di ruang tamu. Dia asyik memandang gajet kecil di tangannya dan sesekali tersenyum sendirian. Tiba-tiba dia seperti teringat sesuatu. “Rumah adik-adik di kampung ini belum mempunyai bekalan elektrik?” tanyanya.

“Belum,” jawab adikku, Yayang sepatah.

Anak muda itu kelihatan mengeluh, lalu meletakkan gajet kecil di sisinya.

“Apakah bateri smartphone tuan perlu dicaj,” Yayang, adikku bertanya lagi.

“Ya. Tapi tidak mengapa. Nampaknya abang perlu menjimatkan penggunaan smartphone abang,” katanya.

“Smartphone tuan jenama apa,” Yayang terus bertanya.

“Iphone,” jawabnya.

“Iphone!”

Matanya terbuka luas sambil menoleh kepadaku. Aku tahu, dari rakan-rakan sekolah dia sudah banyak mengetahui berbagai jenis dan jenama telefon pintar yang wujud di dunia ini, tapi kami masih belum mampu memiliki satu pun darinya.

“Iphone, bang,” ulangnya lagi, seakan berteriak kepadaku.

“Ya,” kataku, tanpa mengalihkan tumpuanku dari buku ulangkaji mata pelajaran sekolah di depanku.

“Tuan, sudahlah kampung kami ini tidak ada bekalan air bersih, bekalan elektrik pun belum sampai lagi. Macam mana kami dapat pakai gajet seperti itu,” tiba-tiba Yayang bersuara perlahan dan memandang Anak Muda itu seperti mahu meminta rasa simpati darinya.

“Saya tahu,” jawabnya. “Sebab itulah saya datang ke kampung ini. Rancangan pembangunan sedang dilaksanakan, dan hari ini saya mahu memastikan jalan kecil di kampung ini sesuai digunakan oleh pasukan kami untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.”

“Oh, kalau begitu tuan ini adalah salah seorang pegawai dari syarikat pembangunan yang ditugaskan di kampung ini, ya,” kata Yayang lagi.

“Ya betul. Saya adalah anak kepada pemilik syarikat itu dan sekali gus pengurus syarikat untuk projek pembangunan di kampung ini,” terang Anak Muda itu lagi.

“Tuan pakai kereta jenama apa,” Yayang terus bertanya, dan semakin berani berbual dengan Anak Muda itu semahunya.

“Mercedes,” jawab Anak Muda itu lagi.

“Mercedes!”

Sekali lagi Yayang membuka matanya sambil menoleh kepadaku, lalu berkata; “Abang, bolehkah kita lihat kereta Mercedes tetamu kita ini nanti.”

“Ya,” aku mengangguk dan bersetuju untuk menemaninya.

Untuk beberapa ketika Yayang tidak bersuara, dan Anak Muda itu kembali dengan gajet kecilnya. Kami hampir tidak berkata apa-apa, sehinggalah gajet kecil di tangan Anak Muda itu mengeluarkan bunyi sebagai tanda isyarat dia sedang menerima mesej dari seseorang.

“Orang yang saya tunggu sudah sampai. Saya minta diri dahulu,” katanya.

“Silakan,” kataku. “Tapi untuk mempastikan orang yang ditunggu sudah sampai, bolehkah kami iringi tuan ke tempat kereta tuan.”

“Boleh,” kata Anak Muda itu lagi.

Yayang hampir melonjak kegembiraan ketika kami turun dari rumah untuk mengiringi anak muda itu ke tempat keretanya yang dikatakan rosak. Niah dan Imah tinggal di rumah untuk meneruskan kerja masing-masing. Matahari tengah hari memancar terik ketika kami berjalan pantas menyusuri jalan kecil yang menghubungkan kampung dengan bandar.

Selepas berjalan kira-kira empat ratus meter, kami melihat sebuah Mercedes merah tersadai di tepi jalan. Seorang lelaki menunggu di sisinya bersama sebuah trak tunda yang akan membawa kereta anak muda itu kembali ke bandar. Yayang melonjak kegembiraan, lalu berlari ke arah kereta itu sambil berteriak, “Yeahhh… Mercedes!”

Anak Muda yang berjalan cepat menuju ke tempat keretanya turut tertawa; “Hati-hati!” jeritnya kepada Yayang, adikku.

Yayang lalu dibenarkan duduk di kerusi penumpang. Sementara itu, anak muda berbincang dan memberikan arahan kepada pemandu trak tunda yang telah lama menunggu. Setelah puas melihat bahagian dalam kereta yang pertama kali memasuki kampung kami itu, anak muda lalu meminta diri untuk kembali ke bandar. Di sana, Mercedes merahnya segera dibawa ke bengkel.

ii.

Beberapa bulan selepas kedatangan anak muda bersama Mercedesnya itu, pelbagai kemudahan mula dibangunkan di kampung kami. Sedikit demi sedikit, penduduk kampung mula menghampiri kehidupan yang selama ini hanya dinikmati oleh masyarakat di bandar. Berhampiran rumah kami, para pekerja melaksanakan projek pembangunan yang diberikan oleh kerajaan. Jalan kecil diturap, tiang elektrik didirikan, dan saluran air bersih yang sekian lama kami idamkan mula dipasang.

Niah dan Imah semakin lega kerana dapat mengurus kerja rumah dengan lebih mudah sambil meneruskan persekolahan. Aku pula mula berangan-angan memiliki komputer dengan perisian yang dapat membantu pembelajaran kami. Yayang semakin berminat kepada buku dan gajet permainan untuk mengisi masa lapangnya.

Ya, sudah tentunya kami juga sedang memikirkan masa depan kami sambil berharap semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar.

Ayah dan Emak turut gembira melihat perubahan di kampung kami. Apabila aku menceritakan bagaimana anak muda itu pernah berteduh di rumah sementara menunggu bantuan, mereka tidak marah. Sebaliknya, mereka bangga kerana kami telah melayan tetamu dengan baik dan membantu seseorang yang menghadapi kerosakan kereta.

“Ayah fikir, ayah mahu beli kereta baharu. Itupun sesudah jalan raya di kampung kita ini siap dinaik taraf,” kata Ayah.

“Yeahhh, ayah mahu beli Mercedes,” tiba-tiba Yayang menyampuk.

“Bukan Mercedes, Yayang. Ayah cuma mahu beli kereta Van saja,” kata ayah. “Nanti senanglah hantar kamu semua pergi sekolah, sementara ayah dan emak kau bawa hasil kebun ke bandar.”

“Kalau kau mahu pakai kereta Mercedes, kau mesti belajar bersungguh-sungguh. Mercedes harganya mahal,” kata Emak pula, mengingatkan Yayang.

“Yayang masih kecil. Dia tidak tahu apa-apa tentang itu,” kata Ayah.

“Yayang memang lucu,” kataku, lalu menceritakan bagaimana Anak Muda itu membenarkan adikku, Yayang masuk dan duduk di dalam kereta Mercedes merah itu beberapa bulan yang lalu. “Lagipun, Yayang masih kecil. Sekolah pun baharu duduk di Tahun Tiga.”

“Masih manja,” tiba-tiba Niah dan Imah bersuara, serentak.

Sejak beberapa hari lalu, cuaca menjadi baik dan lembap, terutama menjelang petang. Kami jarang dapat berkumpul kerana Ayah dan Emak sering bekerja di kebun hingga matahari terbenam. “Inilah pengorbanan kami demi kamu, anak-anak,” kata Ayah kepadaku suatu hari. Kata-kata itu masih kuingat. Aku sedar bahawa suatu hari nanti aku juga akan dewasa, berkeluarga, mempunyai anak-anak, dan memikul tanggungjawab seperti mereka.

Renunganku terhenti apabila suara riang Yayang tiba-tiba kedengaran dari halaman. Jeritannya yang menyebut Mercedes segera mengingatkanku kepada anak muda yang pernah singgah di rumah kami beberapa bulan dahulu.

“Yeahhh, mercedes mercedes!” tiba-tiba aku dengar adikku, Yayang melonjak kegembiraan di halaman depan rumah keluarga kami.

“Rahmat, cuba kau lihat siapa tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita,” kata Ayah, lalu meneguk sisa air kopi dari gelasnya.

Aku melangkah keluar dari dapur menuju ke pintu hadapan. Sebuah Mercedes merah terparkir di halaman. Anak muda itu datang semula sambil membawa sebuah beg pasar raya yang besar, ditemani Yayang.

Sebaik sahaja Anak Muda itu masuk di ruang tamu rumah kami, Ayah sudah bersedia menyambut kedatangannya. Begitu juga Emak yang sering kali bertanya kepada kami mengenainya.

“Sebenarnya, sudah lama saya mahu bertemu dengan anak-anak Pakcik dan Makcik,” kata anak muda itu sambil menghulurkan beg pasar raya kepada Ayah. “Ini sedikit buah tangan untuk mereka sebagai tanda terima kasih atas pertolongan yang diberikan kepada saya dahulu.”

Untuk seketika kedua orang tua kami dan Anak Muda itu saling berpandangan.

“Saya juga membawa beberapa buah buku cerita untuk kamu semua. Mudah-mudahan buku-buku ini dapat membantu pembelajaran kamu,” kata anak muda itu sambil menghulurkan sebuah kotak kecil kepadaku.

“Yeahhh, buku!” tiba-tiba adikku, Yayang melonjak riang di sisiku.

Melihat telatah Yayang, Ayah, Emak, dan anak muda itu tertawa bersama.

“Kau memang manja, Yayang,” usik Niah dan Imah serentak. Kami tertawa sekali lagi, sementara kotak buku itu menjadi tanda bahawa kebaikan yang kecil tidak pernah sia-sia. Kedatangan kereta Mercedes ke kampung kami bukan sahaja membawa perubahan, tetapi juga mengingatkan kami bahawa pertolongan yang ikhlas akan dikenang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peraduan Menulis Karangan, Cerpen dan Rencana 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Majalah Mekar dan Perkembangan Sastera Kanak-Kanak di Negara Brunei Darussalam

11 Fungsi Cerita Kanak-Kanak Yang Perlu Kita Ketahui.

'Aku Tidak Mahu Rasuah' bukan isu baharu

10 Sebab Mengapa Awda Membaca Karya Sastera.